Friday, June 26, 2009

Menolak Troli

Troli Tenom




9 kampung putus hubungan: 2,000 penduduk sukar pasarkan hasil pertanian dan sayur-sayuran di pekan Tenom

JIKA di bandar, masyarakat mudah menikmati pengangkutan persendirian atau awam. Hakikatnya nun di pelosok pedalaman, pengangkutan adalah antara rencam kehidupan yang amat memeritkan.

Bagi penduduk di pedalaman Tenom, Sabah, kereta api diesel yang beroperasi sejak 1970 adalah nadi kehidupan mereka setiap kali mahu ke pekan Tenom. Kereta api yang menggunakan enjin Hitachi 5101 milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu adalah satu-satunya pengangkutan awam yang membawa mereka keluar dari kawasan dikelilingi hutan.

Setiap kali kereta api memulakan perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke Stesen Kereta Api Beaufort sejauh 49 kilometer, penduduk kampung di sepanjang landasan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menggunakannya untuk ke pekan Tenom atau Beaufort.

Bagaimanapun, tragedi pada jam 3 petang, 9 April 2008 menyebabkan mereka tidak lagi menikmati perkhidmatan itu. Dua terbunuh manakala 24 lagi cedera, termasuk tiga parah apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas di Kampung Tenom Lama.

Selama enam bulan, mereka tidak dapat menaiki kereta api berikutan kerja membaik pulih landasan yang dilaksanakan JKNS.

Penduduk kampung di sepanjang landasan dari Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh terpaksa menggunakan troli untuk berulang alik ke pekan Tenom.

Dalam tempoh itu, mereka terpaksa berjalan setiap kali ingin ke pekan Tenom atau Beaufort. Bagaimanapun, berdasarkan rayuan penduduk, JKNS memulakan semula perkhidmatan kereta api dari dua arah, iaitu Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh dan Stesen Kereta Api Beufort-Kampung Halogilad.

Bagaimanapun, mereka sekali lagi dihimpit kesukaran apabila JKNS menghentikan perkhidmatan kereta api Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh berikutan tebing Sungai Padas mengalami hakisan teruk akibat banjir pada Disember lalu.

Landasan yang bergerak seiring dengan tebing Sungai Padas perlu dibaik pulih, manakala tebing sungai yang terhakis perlu diperkukuh melalui kerja pembaikan.

Sejak Januari lalu hingga kini, kira-kira 2,000 penduduk di sembilan kampung terpaksa mencari alternatif pengangkutan untuk membawa hasil pertanian seperti getah, pisang, koko dan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dipasarkan di pekan Tenom.

Penduduk terpaksa mengangkat troli ketika melalui landasan yang terputus dan dibaik pulih untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen Pangi.
Terdesak dengan ketiadaan alat pengangkutan, mereka menggunakan kreativiti sendiri dengan membina troli untuk digerakkan di landasan kereta api.

Penduduk Kampung Tenom Lama, Masisilau, Pangi Seberang, Motolob, Stesen Pangi, Kelandos, 78, 75 dan Rayoh yang terputus hubungan dengan dunia luar, terpaksa menggunakan troli untuk ke pekan Tenom.

Meskipun terpaksa bermandi peluh dan menahan lenguh, penduduk yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan terpaksa mencipta troli diperbuat daripada papan berukuran 2.17 x 2.17 meter dengan jarak antara roda dengan roda 0.89 meter untuk menyambung kehidupan.

Di atas troli itulah, mereka menujah kayu ke tanah untuk membolehkan troli meluncur di landasan bagi perjalanan di antara tiga hingga 15 kilometer (km) dari Stesen Kereta Api Tenom ke destinasi terakhir iaitu Kampung Rayoh.

Mereka tidak pernah menikmati kemudahan jalan berturap, apatah lagi jalan raya. Dengan mengumpul kudrat empat kerat, mereka menguatkan tekad menolak troli dengan peluh menyimbah di bawah terik matahari.

Bagi perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke sembilan kampung itu, mereka mengerah tenaga selama kira-kira dua jam meniti landasan menuruni bukit. Keperitan itu kian menghimpit setiap kali mereka mendaki bukit sebelum tiba di pekan Tenom dalam tempoh tiga jam.

Perit-jerih mendaki bukit menyebabkan mereka terpaksa turun dari troli untuk menolak alat pengangkutan itu. Setiap kali bertembung dengan pengguna troli dari arah bertentangan, diplomasi dan kesabaran tahap tertinggi dituntut supaya tiada yang berkecil hati.

Pengguna troli yang tidak membawa barang, penumpang anak kecil atau warga emas, harus mengalah untuk turun dari troli dan mengangkat papan beroda itu bagi memberi laluan kepada pengguna lain.

Dengan troli itulah, mereka membawa getah keping atau sekerap, selain hasil pertanian yang lain ke pekan Tenom. Selesai menjual getah atau hasil pertanian, lazimnya mereka membeli barangan makanan untuk dimuatkan di atas troli.

Keringat yang membasahi tubuh setiap kali menolak troli adalah rencam kehidupan masyarakat jauh di pedalaman Tenom. Walaupun terpaksa mengharungi kesukaran dan penderitaan, hidup mesti diteruskan. Jauh di sudut sanubari mereka mengharapkan agar kerja membaiki landasan oleh JKNS segera disiapkan.

No comments:

Post a Comment